Noor Rashid Ibrahim
Noor Rashid Ibrahim

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya kini telah membuka dua kertas siasatan dan sedang meneliti kes tersebut secara terperinci.

“Kita akan memanggil semua individu terbabit untuk diambil keterangan dan siasatan dijalankan mengikut di Seksyen 500 Kanun Ke­seksaan kerana kesalahan memfitnah.

“Hasil kertas siasatan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hari Hijau Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengannya dan meminta sokongan daripadanya untuk menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, sebanyak 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Dr. Mahathir berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa mengancam ke­selamatan politik negara.

Antara NGO yang membuat laporan ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) Cawangan Muar; Gerakan Belia 4B Negeri Johor; Persatuan Veteran Belia-Belia Bersatu Malaysia (MAYC) Muar dan Persatuan Penduduk Komuniti Perpaduan Bakri.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid memaklumkan, pihaknya bakal melakukan tangkapan baharu susulan penahanan enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki bersekongkol dengan kumpulan kongsi gelap untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

“Pada peringkat awal kes ini, kita telah menahan anggota kong­si gelap yang terbabit sehingga membawa kepada penglibatan enam pegawai kastam yang disyaki membantu sindiket terbabit mem­bawa masuk dadah ke negara ini.

“Saya tidak nafikan, mungkin ada tangkapan lain dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Selasa lalu, akhbar melaporkan sebanyak enam pegawai kastam yang bertugas di KLIA ditahan polis selepas disyaki bersubahat dengan Geng 360 Devan untuk melepaskan dadah di­seludup ke negara ini.

Kesemua mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam operasi bermula Ahad hingga Isnin lalu di sekitar ibu negara dan Selangor.