AZAM BAKI
AZAM BAKI

Permasalahan ini menjadi le­bih buruk dengan pembabitan agensi sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kese­jahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Jika diteliti, beberapa kes alam sekitar yang didedahkan di akhbar-akhbar seperti perlombongan bauksit haram di Kuantan, Pahang ; banjir lumpur di Came­ron Highland, Pahang selain kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti, Pulau Pinang semuanya melibatkan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak melakukan siasatan berhubung kes pencemaran alam sekitar membabitkan aktiviti perlombongan bauksit dan pembalakan ha­ram yang berlaku di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, pasukan penyiasat SPRM sedang mengumpul serta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku di beberapa buah negeri.

“Jika didapati wujud elemen ra­suah dan salah guna kuasa, kita akan mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai isu alam sekitar yang didedahkan mempunyai kaitan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga dalang yang melakukan pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar terus bermaharajalela tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Malah, individu-individu tidak bertanggungjawab ini akan terus mengambil kesempatan sehingga tidak gentar melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan orang ramai jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.