Beg tangan Tan Chi Ann, 47, diragut pada pukul 1.25 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ibu kepada tiga orang anak yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego dipercayai sempat singgah di rumah keluarganya yang terletak berdekatan selepas tamat syif kerja di sebuah restoran di bandar Yong Peng.

Orang ramai yang menemukan mangsa dalam keadaan terba­ring segera menghubungi polis dan ambulans sebelum wanita itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta, di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 3 pagi dipercayai akibat tikaman di bahagian dada yang mengenai jantungnya.

Mangsa dipercayai diragut lebih daripada seorang suspek yang berkemungkinan turut menaiki motosikal.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa didatangi suspek yang meragut beg tangannya, mangsa dipercayai cuba melawan dan mempertahankan diri sebelum suspek bertindak agresif menikam dada mangsa.

“Tali beg tangan mangsa yang putus dalam pergelutan itu berada berdekatan motosikal dinaikinya, namun beg berkenaan hilang,” katanya ketika ditemui dalam Op Selamat 12/2018 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.

Abdul Wahib memberitahu, polis kini me­nyiasat dari pelbagai sudut bagi menge­tahui motif kejadian, namun tidak menolak kemungkinan kes itu adalah ragut atau samun.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Operasi memburu suspek kini giat dilakukan termasuk meneliti pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berdekatan tempat kejadian,” katanya.