Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, wanita tersebut dipercayai diragut oleh suspek bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari rumah keluarganya yang terletak berdekatan.

“Mangsa yang menaiki motosikal tiba-tiba didatangi suspek yang meragut beg tangan miliknya, mangsa dipercayai cuba melawan dan mempertahankan diri sebelum suspek bertindak agresif menikam dada mangsa.

“Polis percaya suspek lebih daripada seorang dan usaha memburu mereka kini giat dijalankan. Beg tangan milik mangsa hilang dan kita menyiasat dari pelbagai sudut motif namun tidak menolak kemungkinan membabitkan kegiatan ragut atau samun,” katanya ketika ditemui dalam Op Selamat 12/2018 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini sebentar tadi.

Abdul Wahib berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE