Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, PATI terbabit ditahan semasa cuba memasuki Malaysia menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran berhampiran Pulau Perjudi dekat sini.

Menurut beliau, kesemua lelaki warga Indonesia berusia antara 15 hingga 46 tahun itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita turut memberkas seorang tekong warga Indonesia dalam tangkapan kira-kira pukul 11 malam itu.

“Tangkapan ini adalah hasil operasi khas selepas menerima maklumat pergerakan sebuah bot mencurigakan dari perairan Indonesia ke perairan Sungai Sekawang, Pasir Panjang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Amran berkata, anggota Maritim Malaysia bagaimanapun terpaksa mengejar bot tersebut selama 10 minit sebelum dapat memintas dan menahan bot itu.

Kata beliau, kesemua PATI yang ditahan terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari sehingga 18 Mac ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE