Suspek berusia 22 tahun itu didapati pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan aktiviti penculikan di selatan negara itu sebelum melarikan diri bersembunyi di negara ini.

Bagaimanapun, individu tersebut bersama enam yang lain berjaya diberkas sepasukan polis dari Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman (E8) susulan penahanan anggota sel Abu Sayyaf Group (ASG) pada 30 Ogos lalu yang merancang untuk melancarkan serangan pada upacara penutupan Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional dan perbarisan Hari Kemerdekaan ke-60 di Dataran Merdeka di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga Filipina berusia antara 22 hingga 38 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta di sekitar Lembah Klang.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kesemua suspek mula menyusup masuk ke negara ini melalui Sandakan, Sabah sejak September 2015 sebelum berlepas ke Kuala Lumpur menggunakan dokumen perjalanan palsu.

“Kesemua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 Akta 747.

“Sejak awal tahun ini, polis berjaya menahan 41 pemberontak asing yang dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Mohamad Fuzi, pihaknya akan melakukan operasi secara berterusan bagi mengesan dan menahan anasir pengganas asing yang menyusup ke Malaysia sama ada untuk berlindung, mengumpul dana atau melancarkan serangan di negara ini.

“Kita juga akan memburu mana-mana pengganas yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan bagi mereka merancang melakukan serangan ke negara ketiga,” ujarnya.