Itu modus operandi sindiket yang didalangi seorang pengganggur serta enam pelajar sebuah IPTS di Bandar Puchong Jaya dekat sini serta dipercayai telah bergerak aktif sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kegiatan mereka terbongkar selepas ketujuh-tujuh suspek berusia 21 tahun hingga 24 tahun itu ditahan pihaknya dalam serbuan bera­singan di Serdang, Khamis lalu.

Menurut beliau, pada serbuan pertama, dua lelaki ditahan selepas polis melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Wira kira-kira pukul 11 malam dan hasil soal siasat mendapati mereka merupakan pengedar dadah.

“Tangkapan tersebut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah pangsapuri di sekitar Bandar Puchong Jaya dan lima lagi lelaki ditahan. Hasil pemeriksaan turut menemukan tiga ketulan mampat daun ganja seberat 1.86 kilogram bernilai RM4,500 serta beberapa alatan untuk menghisap dadah.

“Lima daripada mereka po­sitif ujian air kencing dadah jenis THC serta hasil soal siasat mendapati bekalan dadah diperoleh daripada seorang pengedar dadah di satu daerah di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.

Tambah Ismadi, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta yang sama.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, empat lelaki ditahan Pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Serdang ke­rana disyaki terlibat dalam ke­giatan lumba haram, awal pagi semalam.

Jelas beliau, keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 2.30 pagi di kawasan sekitar Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dan kini direman dua hari mengikut Seksyen 42 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ketika pemantauan, kita mendapati suspek melakukan aksi bahaya menggunakan empat motosikal Honda EX5 yang turut disita,” katanya.