Suspek yang berusia antara 28 dan 52 tahun itu ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menerusi operasi yang dilancarkan di Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek pertama, penjual madu berusia 28 tahun ditahan di Kelantan pada 19 November dan didapati menerima arahan daripada Akel Zainal untuk melancarkan serangan di negara ini.

SEBANYAK tujuh individu termasuk dua warga Filipina ditahan kerana disyaki terlibat dalam kumpulan p

SEBANYAK tujuh individu termasuk dua warga Filipina ditahan kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas. - UTUSAN ONLINE/ IHSAN PDRM

Menurutnya, keesokan harinya, pihaknya menahan seorang jurutera sebuah syarikat minyak dan gas berusia 52 tahun di Kajang, Selangor yang didapati terlibat dalam menyalurkan dana berjumlah RM14,000 kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi bagi pembiayaan aktiviti keganasan.

“Suspek ketiga iaitu seorang lelaki warga Filipina bekerja sebagai pekebun ditahan pada 21 November. Suspek merupakan anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang terlibat dalam tiga kes penculikan di selatan Filipina dan Sabah.

“Tangkapan keempat dilakukan di Kelantan melibatkan seorang kakitangan sekolah memandu berusia 35 tahun yang disyaki menerima arahan daripada anggota kanan kumpulan pengganas Daesh warga Malaysia di Syria untuk melancarkan serangan ke atas orang bukan Islam dan rumah ibadat mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu van kilang pada 22 November.

“Suspek didapati terlibat dalam menyalurkan dana kepada sel Jamaah Ansharut Daulah (JAD) iaitu kumpulan pengganas pro-Daesh di Indonesia yang terlibat dalam siri serangan ke atas Balai Polis Jawa Tengah pada tahun 2017.

“Tangkapan terakhir pula melibatkan sepasang suami isteri berusia 40 dan 48 tahun di Tenom, Sabah. Mereka didapati terlibat menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran anggota kumpulan ASG di Sabah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE