Pengarahnya, Jaiya Abu berkata, susulan daripada aduan tersebut, pihaknya telah membuat pemeriksaan di ketiga-tiga kedai ubat-ubatan berkenaan di sekitar Melaka Tengah.

Bagaimanapun menurutnya, hasil semakan dokumen dan pe­meriksaan di premis itu menda­pati susu rumusan bayi yang di­jual di semua kedai tersebut di­peroleh daripada pengilang dan pengedar yang sah.

“Semakan dokumen di premis terbabit mendapati bekalan susu itu adalah asli serta mendapat ja­minan daripada pengedar, tiada rampasan dilakukan oleh pihak kami dan susu rumusan itu masih dijual seperti biasa kepada pengguna.

“Pihak kami menerima aduan berhubung perkara ini sejak laporan rampasan susu tiruan di Johor baru-baru ini, difahamkan aduan itu dibuat selepas mendapati anak mereka mengalami simptom seperti sakit perut dan mencurigai kandungan susu yang dibeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Sempena Musim Perayaan Krismas 2017 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Hal Ehwal Kepenggunaan negeri, Datuk Lai Meng Chong.

Akhbar sebelum ini melapor­kan, PPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan di lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru.

Jaiya berkata, sekiranya pengguna mengesyaki susu yang dibeli adalah tiruan, mereka dinasihatkan membuat aduan kepada PPDNKK atau secara terus kepada pengedar atau pengilang.

Dalam pada itu, Jaiya berkata, sebanyak 77 anggota dan pegawai ditugaskan untuk menjalankan pemantauan harga di ketiga-tiga daerah di Melaka sempena skim kawalan harga berkenaan.

“Setakat ini juga, tiada aduan diterima oleh PPDNKK berhubung kenaikan harga barang-barang yang melampau dalam tempoh musim cuti persekolahan menerusi pemantauan yang dilakukan secara harian, mingguan dan bulanan,” katanya.