Suspek yang tidak bekerja dan berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Dahlia, Naka di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Terap dan Balai Polis Naka bertindak menyerbu rumah tersebut.

"Kita berjaya merampas sebanyak 95.2 gram dadah disyaki syabu bernilai RM14,280," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang masih bujang itu positif dadah jenis methamphetamine selain turut mempunyai tujuh kes jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini mulai 2002 sebelum berhenti tetapi disyaki aktif semula dalam pengedaran dadah jenis syabu sejak tujuh bulan lalu," ujarnya.

Menurut Noh lagi, siasatan juga mendapati suspek menyewa sebuah rumah di Naka sejak dua bulan lalu untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

"Kita mengesyaki suspek mendapatkan bekalan dadah dua kali seminggu daripada seorang lelaki yang dikenalinya sejak setahun lalu di Sungai Dua, Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari mulai Selasa lalu hingga 11 Februari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE