Hakim Azman Mustafa membuat keputusan itu setelah TNB menukar pengakuan kepada mengaku bersalah di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 semasa pertuduhan dibacakan semula.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu, Ir. Zuraidi Hanafi Hanafi dan Zainee Mohammad manakala TNB diwakili oleh peguambela Harikannan Ragavan dari Tetuan Jayadeep Hari & Jamil.

Menurut fakta kes, sepasukan pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu, diketuai Pegawai Penyiasat Ir. Lim Yee Tat telah melakukan penyiasatan satu kes kemalangan maut di, Kampung Sungai Petai, Hulu Terengganu pada 26 Febuari 2017.

TNB dan syarikat MYM Tok Pong Sdn. Bhd. didapati gagal untuk memastikan kewajipannya, mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja membaikpulih kerosakan talian voltan rendah sehingga menyebabkan kemalangan ke atas pekerjanya, Erdiy Yunizam Ismail.

Sebelum ini kedua-dua syarikat telah didakwa bersama-sama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 pada 15 April lalu, dan syarikat MYM Tok Pong telah mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 atau 12 bulan penjara.-UTUSAN ONLINE