Kejadian pukul 6.15 pagi itu berlaku ketika kereta jenis Toyota Alphard dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Tumpat, Kelantan selepas mengambil bekalan daun ketum dari Sik, Kedah.

Kegiatan lelaki itu bagaima­napun dikesan unit kereta peronda (MPV) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik yang sedang melakukan rondaan di Jalan Gerik-Jeli setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, anggota polis telah mengekori kereta itu dan mengarahkan pemandunya agar memberhentikan kenderaan namun ia terus dipandu laju menghala ke Jeli.

Katanya, namun kende­raan tersebut ditemukan di tepi jalan setelah terbabas dan mengalami kerosakan di bahagian tayar belakang.

“Semasa anggota MPV sampai di tempat kejadian, terdapat seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia 16 tahun sedang cuba keluar dari kenderaan yang terbabas manakala pemandunya pula telah melarikan diri.

“Dua beranak itu berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai 15 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 500 kilogram yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sohaimi, siasatan mendapati wanita tersebut baharu sahaja ber­kenalan dengan suspek dan pada pertemuan kedua, dia telah diajak menemani lelaki terbabit ke Sik, Kedah.

Katanya, tindakan suspek membawa teman wanitanya dan remaja terbabit untuk mengambil bekalan daun ketum dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Wanita itu memberitahu dia diajak oleh suspek untuk menemaninya mengambil daun ketum di Sik. Usaha sedang dilakukan bagi mengesan lelaki berusia lingkungan 40-an yang berasal dari Kelantan,” ujarnya.