Itu yang dilakukan oleh tiga individu termasuk seorang wanita yang akan meninggalkan najis mereka bertujuan untuk menakutkan mangsa seolah-olah mereka telah disihir.

Ketua polis Daerah Gombak, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kesemua suspek berusia diantara 34 hingga 37 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di sekitar kawasan perumahan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini.

“Kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Cicak dan kesemua mereka ditahan di sekitar Rawang dan Selayang kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Mereka mencari sasaran pecah rumah dengan menggunakan teksi yang disewa dan dipercayai aktif melakukan jenayah ini sejak awal minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Samsor, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah, dadah dan individu yang dikehendaki polis.

Jelasnya, ujian air kencing juga mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu.

“Menerusi penahanan kesemua mereka, kita percaya tiga kes pecah rumah yang dilaporkan di kawasan Bandar Tasik Puteri sejak minggu lalu berjaya diselesaikan.

“Kesemua suspek telah ditahan reman sehingga 16 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE