Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penderaan fizikal dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima dan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap pelaku.

"Para pesalah perlu dituduh di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang mencukupi manakala Jabatan Imigresen pula harus menyenaraihitamkan majikan berkenaan dan menghalang mereka daripada mendapatkan khidmat pembantu rumah.

"Penderaan sedemikian boleh digambarkan sebagai 'jenayah kemanusiaan' sekali gus boleh mencetuskan kemarahan sehingga menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai seorang pembantu rumah dari Indonesia meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam, sehari selepas diselamatkan oleh polis kerana didakwa didera oleh majikannya menyebabkan mangsa terpaksa tidur di perkarangan rumah dengan anjing peliharaan selama sebulan. - UTUSAN ONLINE