Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke situ setelah menerima maklumat daripada orang awam, kira-kira pukul 5.30 petang.

“Tiga orang warga emas berumur 62, 69 dan 75 tahun turut berada dalam rumah dan begitu asyik bermain komputer untuk berjudi.

“Polis kemudian menahan pemilik rumah dan menemukan wang tunai sebanyak RM3,800 di situ,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Menurut beliau, pelbagai peralatan termasuk beberapa buah komputer turut dirampas dalam operasi itu.

“Adalah menjadi satu kesalahan bermain judi di rumah persendirian dan dua daripada tujuh orang yang ditahan dalam rumah itu didapati mempunyai rekod jenayah masa lampau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan Tikam Batu, Kota Kuala Muda, Merbok, Tanjung Dawai segera membuat laporan kepada polis jika wujud kegiatan perjudian di tempat masing-masing.

Dalam perkembangan lain, polis bahagian narkotik menahan empat orang lelaki tempatan berumur 26 hingga 36 tahun kira-kira pukul 12.10 tengah hari pada kelmarin, kerana memiliki syabu bernilai RM5,250 dan heroin bernilai RM17,760 dalam serbuan di kawasan Ladang Kelapa Sawit di Bukit Selambau disini.

“Hasil semakan rekod lampau, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah masa lalu dan mereka juga positif morfin setelah ujian air kencing dilakukan.

“Selain itu mereka turut menjadi pengedar dan penagih dadah. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah Adzli lagi. - UTUSAN ONLINE