Dalang utama, Johnson Lee Chong Sen, 29, yang memperdaya mangsanya menerusi pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya turut menahan dua individu yang berperanan sebagai orang kanan dan pembantu peribadi dalang utama pelaburan tersebut.

Menurutnya, beberapa bara­ngan peribadi dipercayai milik suspek turut dirampas iaitu sebuah kereta Honda Accord, lima unit telefon bimbit, pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan JJPTR, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

“Setakat ini kita terima lima laporan polis. Dua kertas siasatan telah dibuka berhubung kes ini.

“Semua suspek berusia an­tara 28 dan 29 tahun itu telah mendapat perintah reman selama tiga hari bermula hari ini dari Mahkamah Majistret Klang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, akhbar mela­porkan seramai 19 individu berusia antara 23 dan 40 tahun ditahan dalam lapan serbuan ber­asingan dilancarkan sekitar Pulau Pinang.

Kesemua suspek terdiri daripada 15 pekerja sindiket dan empat pelabur itu ditahan JSJK Bukit Aman bersama Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia (BNM), Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara ­(NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Cybersecurity Malaysia (Cybersecurity) bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Di Mahkamah Majistret Klang hari ini, perintah reman terhadap ke­semua suspek dikeluarkan oleh Ma­jis­tret Nik Nur Amalina Mat Zaidan kira-kira pukul 2.55 petang.

Ketiga-tiga suspek terma­suk o­rang kanan serta pembantu peribadi dalang sindiket pelaburan itu diwakili peguam, K. Jaya Prem dan Mohd. Shukri Ahmad Mansor.

Sementara itu di luar mahka­mah, Jaya Prem memberitahu, kesemua anak guamnya dihantar ke Lokap Pusat Shah Alam bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis di sini berkaitan kes penipuan pelaburan berjumlah RM56,400.