Menurut sumber, kedua-dua pegawai TLDM yang berusia 50 tahun tersebut masing-masing memegang jawatan sebagai Kapten Kapal dan Komander (Pegawai Pemerintah) manakala seorang lagi adalah pengurus syarikat berusia 54 tahun yang terbabit dalam pembekalan langsir pasang siap tersebut.

Katanya, kesemua mereka ditahan di SPRM Cawangan Langkawi kira-kira pukul 2.20 petang hingga pukul 7.30 malam.

”Siasatan awal mendapati pengurus syarikat tersebut telah bersubahat dengan dua pegawai TLDM dalam mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berhubung kerja pembekalan langsir pasang siap di TLDM Puncak Lang Langkawi berjumlah lebih RM60,000.

“Sedangkan pembekalan tersebut tidak dibuat sepenuhnya walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh TLDM," katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Langkawi.

”Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.-UTUSAN ONLINE