Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Amran Daud berkata, tangkapan tersebut dibuat di dalam dua operasi berasingan awal pagi tadi.

Katanya, tangkapan pertama pada pukul 2.33 pagi melibatkan tiga tekong warganegara Indonesia dan 16 PATI Bangladesh dalam rondaan rutin harian di sekitar perairan terbabit.

"Mereka terserempak dengan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkannya untuk berhenti, namun tidak diendahkan malah terus memecut laju.

"Pasukan peronda mengejar bot itu dan berjaya menahannya kira-kira 1.6 batu nautika di barat daya Kuala Lukut. Pemeriksaan mendapati bot tanpa nombor pendaftaran dengan enjin sangkut jenis Yamaha digunakan membawa PATI memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Amran berkata, tangkapan kedua dibuat pada pukul 3.15 pagi di pesisir pantai Kampung Teluk, Lukut dekat sini selepas menerima maklumat sebuah bot berapung dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.

“Bot terbabit telah memecut laju ke arah laut selepas menurunkan PATI dan cubaan untuk menahan bot tersebut gagal.

"Bagaimanapun, kita berjaya memberkas 20 orang termasuk seorang wanita warganegara Bangladesh disyaki baru sahaja mendarat di perairan Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE