Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ia susulan daripada laporan yang dibuat oleh seorang lelaki pada 8 Mei lalu yang mendakwa telah ditipu dalam urusan pelaburan syarikat tersebut menyebabkan mangsa rugi RM2,350.

Menurutnya, pelabur dijanjikan mendapat keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibayar setiap bulan.

"Namun selepas menerima pembayaran pertama berjumlah RM210, pengadu tidak lagi menerima sebarang pembayaran selepas itu dan suspek juga tidak dapat dihubungi.

"Semakan ke atas alamat syarikat berkenaan di Kepala Batas, Pulau Pinang mendapati ia sebuah rumah tidak berpenghuni," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat lagi laporan polis diterima ke atas syarikat sama.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak diketahui kesahihannya," katanya. - UTUSAN ONLINE