Ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi berasingan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau semalam selepas menerima laporan daripada penyelia kedai berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pengadu telah menyedari kedai milik syarikat itu dipecah masuk dan mendapati sebuah peti besi yang berisi sejumlah wang bernilai RM11,000 telah hilang.

“Suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di sebuah rumah Taman Sri Balung, Jalan Apas pada pukul 3.30 pagi dan polis berjaya merampas beberapa barang curi yang telah dibuang oleh suspek disyaki bersabit dengan kes pecah kedai berkenaan.

“Polis berjaya melakukan dua tangkapan susulan pada hari sama kira-kira pukul 2.50 dan 5.10 petang di hadapan sebuah kedai di Taman Sawit, Balung dan di sebuah rumah di Kampung Mangga Nasip Kita, Jalan Apas Balung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, antara barang yang dirampas dalam serbuan tersebut ialah wang tunai sebanyak RM8,175 dan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hitam.

“Ketiga-tiga suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE