Ketiga-tiga suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu ditahan di dua serbuan antara pukul 6 petang hingga 11 malam di Kampung Likas di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, kejadian itu berlaku pada 4 Julai lalu apabila seorang pengadu wanita bersama seorang rakannya dicabul dan disamun ketika sedang melakukan senaman di taman tersebut.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, kedua-dua mangsa telah ditegur oleh suspek yang tidak dikenali di kawasan pentas taman tetapi tidak diendahkan sebelum meneruskan larian.

“Kira-kira lima minit melalui kawasan tempat ketiga-tiga suspek tersebut berada, tiba-tiba mangsa dan rakannya telah dipeluk dari arah belakang oleh dua suspek.

“Mangsa kemudian terus bertindak menyiku suspek tetapi tidak berjaya melepaskan diri. Manakala seorang lagi rakan suspek telah merampas telefon bimbit yang dipegang oleh mangsa.

“Mangsa kemudian melarikan diri bersama rakannya dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chandra, bertindak atas maklumat, pihaknya mengesan suspek dan berjaya menahan mereka dalam du siri serbuan di sekitar Kampung Likas, di sini.

Kata beliau, hasil serbuan berjaya merampas sebuah telefon bimbit jenis Sony dan kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE