Ketiga-tiga suspek yang baharu selesai menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu ditangkap pada pukul 2.30 pagi ini di sebuah kedai makan berhampiran sebuah pasar raya di Seri Iskandar di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, tangkapan tersebut dibuat susulan daripada laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disamun ketiga-tiga remaja itu pada pukul 7 petang semalam.

Katanya, pengadu memberitahu dia telah diperdaya oleh salah seorang suspek yang memaklumkan seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya ingin menemuinya.

"Pengadu telah mengikut suspek terbabit ke bangunan sebuah kedai dobi di sini sebelum beberapa orang rakan suspek bertindak ganas dengan menolak lelaki itu sehingga terjatuh dan mengambil dompet miliknya yang mengandungi wang tunai RM421.50.

"Ketiga-tiga suspek itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada pukul 2.30 pagi inii," katanya.

Menurut beliau, ujian saringan awal polis mendapati ketiga-tiga remaja tersebut negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Siasatan mendapati tujuan mereka menyamun mangsa adalah untuk membeli dan membaiki telefon yang rosak.

"Ketiga-tiga suspek itu direman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dijalan," katanya. - UTUSAN ONLINE