Penerimaan suapan itu adalah berkaitan dengan pembekalan lima unit motosikal beroda tiga untuk kutipan sampah dengan harga RM16,500 seunit membabitkan syarikat kroni yang disyorkan dengan penawaran harga tidak munasabah.

Sehubungan itu, dua penjawat awam bergred N19 dan seorang bergred U32 yang kesemuanya dalam lingkungan umur 31 hingga 46 tahun, telah ditangkap pada Ops Mark Up Jumaat lalu bersama-sama seorang kontraktor pembekal wanita berusia 59 tahun.

Keempat-empat suspek tersebut telah direman selama empat hari tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, jenayah itu melibatkan kegiatan pemalsuan cop-cop syarikat yang tidak wujud bagi membolehkan syarikat kontraktor pembekal berkenaan dilihat menawarkan pembekalan pada harga terendah.

“Kegiatan ini berlaku disebabkan kelemahan perolehan di mana sepatutnya wujud harga kajian pasaran dibuat, namun pihak berkenaan tidak melaksanakan perkara ini. Jika diikutkan arahan Perbendaharaan dan tatacara perolehan, mesti ada sekurang-kurangnya lima syarikat yang masuk ‘quotation’, oleh itu syarikat-syarikat lain (yang disenaraikan) hanya bertindak sebagai ‘dummy’.

“Dalam kes ini, penjawat awam itu sendiri yang menyediakan syarikat ‘dummy’ tersebut. Jadi, kita harap perkara ini tidak berlaku di tempat lain kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kos meningkat, malahan kualiti barangan tidak sebaik yang diharapkan selain menidakkan kontraktor lain untuk mendapatkan peluang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini harı ini. 

Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan untuk memanggil saksi lain bagi memberikan keterangan mengikut keperluan. - UTUSAN ONLINE