Ketiga-tiga pegawai berkenaan yang bertugas di Maritim Malaysia Kota Kinabalu ialah Timbalan Pengarah Logistik yang berusia 45 tahun, pegawai penyiasat, 53, dan seorang lagi pegawai berusia 39 tahun.

Majistret Afiq Agoes memerintahkan timbalan pengarah berkenaan direman enam hari bermula hari ini manakala dua lagi selama lima hari.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

“Siasatan ini adalah berhubung aktiviti rasuah sehingga menyebabkan nelayan asing memasuki perairan Sabah,” katanya.

Ketiga-tiga mereka merupakan antara lima suspek yang ditahan SPRM di negeri ini semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dijangka mengadakan sidang akhbar di Putrajaya pada pukul 12 tengah hari ini berhubung penahanan berkenaan. - UTUSAN ONLINE