Menurut Ketua Polis daerah, Superitenden Muhd. Nur Hishamhddin Hashim, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol kira-kira pukul 4.30 petang.

“Semasa serbuan dibuat, terdapat tiga lelaki berusia antara 33 hingga 35 tahun sedang duduk menghadap satu sama lain di dalam rumah itu.

“Hasil pemeriksaan menemukan 19 peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan bahan disyaki heroin berterabur di atas lantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Modenas dan wang tunai RM200 dipercayai milik salah seorang daripada tiga lelaki terbabit.

Katanya, siasatan mendapati mereka mempunyai antara 1 hingga 2 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.

Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE