Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol kira-kira pukul 11 malam.


“Semasa serbuan dibuat, terdapat tiga lelaki berusia antara 29 hingga 45 tahun sedang duduk menghadap satu sama lain di dalam rumah itu.


“Hasil pemeriksaan menemukan 10 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan bahan disyaki dadah jenis heroin di dalam sebuah beg berwarna merah jambu di atas lantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Beliau berkata, polis turut menyita tiga buah motosikal jenis Yamaha dipercayai milik tiga lelaki terbabit.


Katanya, siasatan mendapati mereka mempunyai antara tiga hingga lima rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.


Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE