Perintah tahanan reman sehingga 25 Janua­ri itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Selayang bagi memboleh­kan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berke­naan dengan apa-apa benda letupan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Ko­mi­sioner Samsor Maarof berkata, pi­haknya telah menahan suspek ketiga berusia lingkungan 20-an di sekitar Batu Caves kira-kira pukul 3 pagi.

“Ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan kepada tiga orang sebelum mereka dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah reman. Selain itu, kesemua mangsa yang sebelum ini dibawa ke hospital juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kemeriahan sambutan Thaipusam bertukar kecoh apabila sebanyak 34 orang cedera akibat terkena letupan mercun yang dibakar oleh seorang pengunjung di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves, dekat sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 8.40 malam di atas persim­pangan bertingkat di depan kuil tersebut berlaku apabila mercun yang sepatutnya melayang ke udara meletup di atas jalan raya dan terkena orang ramai.

Sejurus kejadian, dua suspek berusia 23 dan 28 tahun ditahan kerana membakar mercun sempena sambutan Thaipusam tanpa kebenaran dan permit polis.