Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an didatangi ketiga-tiga suspek terbabit yang mengaku diri mereka sebagai anggota polis berpakaian preman sebelum mengarahkannya membuka pintu kononnya mahu mengadakan pemeriksaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesemua suspek terbabit kemudiannya memasuki rumah berkenaan dan menggeledah barangan manakala mangsa digari bersama tiga orang anaknya masing-ma­sing seorang perempuan dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.

“Kita menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.13 pagi dan berdasarkan siasatan awal, salah seorang suspek terbabit dikatakan telah mengacukan satu objek menyerupai pistol kepada mangsa.

“Ketiga-tiga suspek terbabit kemudiannya melarikan diri dengan kenderaan milik mangsa jenis Honda Insight bersama-­sama barangan lain antaranya telefon bimbit, komputer riba serta barangan kemas.

“Semasa kita sampai di lokasi kejadian, mangsa dan tiga anak­nya masih bergari,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini yang turut diha­diri Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Tambah Mazlan, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar kerugian akibat kejadian itu selain memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Pada masa sama, Mazlan turut memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan lakaran dua suspek yang terlibat kejadian itu yang mana kesemua mereka berusia dalam lingkungan 30-an.

“Orang ramai yang mempu­nyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 untuk tindakan lanjut.