Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu selepas penduduk terbabit membuat laporan polis petang semalam.

"Lelaki berusia 50 tahun itu mendakwa dia menemukan seekor anjingnya mati di lorong belakang rumahnya pada 1 Januari lalu.

"Dua lagi anjing ditemukan mati berdekatan dengan rumahnya antara 1 hingga 4 Januari lalu. Lelaki itu mengesyaki ketiga-tiga anjing itu diracun oleh individu tertentu," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Hock Poh berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

Kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam dan seorang pencinta haiwan di ibu negara turut membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Gombak.

Beberapa gambar anjing yang ditemukan mati di kawasan berkenaan turut dikongsi orang ramai yang mengecam perbuatan pihak yang dipercayai meracun haiwan tersebut. - UTUSAN ONLINE