Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, semua suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 36 hingga 50 tahun ditahan di sebuah kedai kopi di Taiping pada pukul 3.30 petang.

Menurutnya, tangkapan dilakukan semasa mangsa menyerahkan duit RM6,000 yang dipinjam daripada ah long kepada suspek.

Kata beliau, mangsa bertindak sedemikian untuk membebaskan anaknya yang ditahan selama tiga hari pada hari sama berkaitan kes pergaduhan.

“Pada awalnya mangsa telah dihubungi oleh salah seorang suspek wanita berkenaan kira-kira pukul 9.12 pagi.

“Suspek wanita itu memberitahu sekiranya mangsa mahu membebaskan anaknya, dia perlu menyediakan wang tersebut untuk diberikan kepada seorang pegawai polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bernama Tuan Leong.

“Tuan Leong ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah iaitu Deputi Superintenden Leong Mun Choon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, selepas mengumpulkan duit, mangsa telah pergi berjumpa dengan Tuan Leong di IPD Taiping.

Katanya, mangsa memberitahu hanya dapat mengumpul duit sebanyak RM6,000 manakala baki RM9,000 lagi tidak dapat dicari.

“Tuan Leong telah memberitahu kepada mangsa beliau memang tidak tahu tentang perkara ini dan mengesyaki namanya telah diguna pakai, justeru menasihatkannya untuk membuat laporan polis,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kesemua suspek telah direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE