Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hasan berkata, menerusi penahanan kesemua suspek yang masing-masing berusia 17, 21 dan 22 tahun itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan 21 kes melibatkan kumpulan itu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, serbuan itu dilakukan oleh sekumpulan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selepas menerima aduan daripada mangsa yang tidak berpuas hati dengan kadar faedah dikenakan oleh syarikat terbabit.

“Syarikat terbabit disyaki te­lah beroperasi selama tiga tahun dan mengutip keuntungan faedah kira-kira RM1.8 juta iaitu antara RM50,000 sebulan.

“Tangkapan ini dilakukan hasil laporan daripada orang ramai yang berasa tertipu apabila jumlah pinjaman tidak berkurangan selepas membuat bayaran bulanan tetapi sebaliknya semakin meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Abd. Jalil berkata, pihaknya turut merampas barangan dipercayai digunakan bagi aktiviti perniagaan itu termasuk kad nama, risalah syarikat, buku latihan, selain dua buku bank dan empat kad bank.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.