Pengarah Maritim Malaysia negeri, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, tiga bot nelayan asing disyaki dari Vietnam itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di lokasi lebih kurang 170,384 meter timur dari Kuantan.

“Bot nelayan asing tersebut menggunakan nombor pendaftaran KG 90998 TS, KG 90709 TS dan KG 9437 TS membawa ikan campur dan hasil laut yang dianggarkan melebihi enam tan metrik.

“Keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM3 juta dan kesemua 24 nelayan warganegara Vietnam yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 59 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, ketiga-tiga tekong itu akan didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala awak-awak akan didenda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang dan penjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, katanya, sehingga hari ini, Maritim Malaysia negeri melakukan 341 pemeriksaan dan 15 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Orang ramai disaran memberi kerjasama dan bersama-sama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri di talian 095717345,” katanya. - UTUSAN ONLINE