Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Rosliza Md. Isa, 31, yang merupakan ibu kepada dua anak manakala bapa dan adik lelakinya, Md. Isa Ismail, 63, dan Ros Iman, 26, masing-masing dihukum penjara empat bulan setelah ketiga-tiganya mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap mereka pada 12 September lalu.
 
Mengikut pertuduhan, Md. Isa, Ros Iman, dan Rosliza didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang terhadap S. Viknes Kumar, 23, di depan Blok D, Apartmen Prima Selayang, Jalan PS 1, Jalan Rawang, Batu Caves dekat sini pada pukul 9.30 malam, 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara itu, di hadapan Majistret Iriane Isabelo, Rosliza turut didenda RM2,000 atau penjara sebulan bagi satu lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan merosakkan cermin depan dan sisi sebuah kereta milik J. Darshana, 22, yang merupakan teman wanita Viknes Kumar menggunakan topi keledar di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut mengaku bersalah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala Rosliza tidak diwakili peguam sementara Md. Isa dan Ros Iman diwakili oleh peguam Azman Abdullah.

Difahamkan, kejadian berlaku sewaktu kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh Viknes Kumar bertembung dengan motosikal yang ditunggang Rosliza di satu lorong yang sempit di belakang blok pangsapuri itu.

Rosliza yang tidak berpuas hati telah mengeluarkan kata-kata kesat dan mencarut terhadap Viknes Kumar. Namun, selepas Viknes Kumar menegurnya dan cuba memandu keluar telah terlanggar ekzos motosikal Rosliza menyebabkan dia bertindak menarik leher baju mangsa untuk meminta ganti rugi.

Mangsa yang ketakutan telah melarikan diri dan Rosliza bertindak memecahkan cermin kereta itu. Sewaktu mangsa melarikan diri Ros Iman telah mencederakan mangsa dengan sebatang besi sebelum dikejar dengan parang oleh Md. Isa. - UTUSAN ONLINE