Operasi itu dijalankan di sekitar kawasan Kuala Selangor, Bestari Jaya dan Tanjong Karang dan dibantu anggota dari AADK Daerah Sabak Bernam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Selangor, Khairunizam Abu Samah berkata, Op Aduan Awam itu dijalankan bagi menyelesaikan aduan-aduan tentang aktiviti penyalahgunaan dadah yang dilaporkan kepada AADK Kuala Selangor.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, seramai tujuh suspek, kesemuanya lelaki berusia lingkungan 15 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki penagih.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati enam orang positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang postif ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairunizam memberitahu, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“Operasi-operasi seperti ini akan sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memerangi gejala penagihan dadah khususnya di daerah ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE