Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, sebanyak 40 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 10 malam dan berakhir pada pukul 3 pagi itu.

“Kita mendapati terdapat enam lelaki berusia lingkungan 25 hingga 67 tahun yang berada dalam kenderaan yang diperiksa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan ketika melalui RCP berkenaan.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hazani, pihaknya memberi fokus kepada pemeriksaan kenderaan dan individu di laluan berkenaan bagi mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi termasuk kemasukan PATI.

“Operasi ini juga bertujuan untuk memantau dan mengesan laluan tikus yang berkemungkinan digunakan oleh penyeludup dan PATI untuk melepaskan diri daripada sekatan lalu lintas,” katanya.-UTUSAN ONLINE