Tertuduh, Lau Cheng Lam, 51, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memiliki 60 paket mengandungi 720 batang rokok kretek jenama Quest Bold tanpa setem cukai dan 430 paket mengandungi 5,160 batang rokok jenama Gudang Garam Surya tanpa setem cukai.

Dia juga dituduh memiliki 370 paket mengandungi 7,400 batang rokok putih jenama John D Blend dengan setem cukai negara asing dan 440 paket mengandungi 8,800 batang rokok putih jenama John Black dengan setem ‘Duty Not Paid’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Almas kira-kira pukul 2 pagi, 15 Januari lalu.

Duti import bagi kesemua rokok tersebut ditaksirkan berjumlah RM4,416 yang mana barang berkenaan adalah barang larangan bersyarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import).

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000, mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000, mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Azmadi Zakaria sementara tertuduh diwakili peguam Max Yee. -UTUSAN ONLINE