Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, mereka yang terlibat perlu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah sejajar dengan peruntukan undang-undang.

"Tak mengapa kalau tak setuju, kita boleh dengar. Kalau bantah, kita boleh runding. Kalau protes, kita boleh bincang.

"Tapi kalau pukul, (mesti kena) tindakan tegas tangkap. Soal langgar hukum, ganas, jenayah hingga penjawat awam cedera, tidak boleh tolak ansur," katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Jentera Pilihan Raya Kecil Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini malam tadi.

Beliau mengulas kekecohan di kuil Maha Mariaman dekat Seafield Subang Jaya yang menyaksikan seorang anggota bomba dicederakan perusuh.

Menurutnya, semua pihak perlu menjaga sentimen masing-masing dan berhati-hati menangani isu tersebut.

Sambil itu, beliau meminta, keputusan yang dibuat kerajaan disampaikan kepada penduduk bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kadang-kadang keputusan disampaikan kepada jawatankuasa rumah ibadat tetapi tidak diberitahu kepada penduduk menyebabkan mereka tertanya-tanya," ujarnya.

Beliau yakin isu kuil itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua dan tiga hari lagi melalui tindakan dibuat kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE