Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, identiti sebenar Jong-nam yang turut menggunakan nama Kim Chol hanya boleh disahkan selepas pihaknya mendapat sampel DNA daripada waris lelaki tersebut.

“Undang-undang Malaysia menetapkan mayat hanya boleh dituntut selepas dilakukan proses DNA. Malah lelaki ini mempu­nyai dua nama iaitu Kim Chol atau Jong-nam, maka ujian DNA amat diperlukan bagi mengesahkan identitinya.

“Kerajaan akan membuat keputusan berhubung status mayat itu dalam satu tempoh yang akan ditentukan kelak sekiranya tiada waris menyerahkan sampel DNA termasuk menuntut mayat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Subramaniam memberitahu, mayat yang tidak dituntut boleh disimpan sehingga tiga bulan dan identitinya perlu dihebahkan menerusi media massa sebelum disemadikan mengikut agama masing-masing.

“Tetapi proses itu hanya melibatkan mayat rakyat Malaysia sahaja, sekiranya melibatkan warga asing, ia memerlukan pandangan daripada pihak berkaitan.

“Dalam kes ini, kerajaan akan membuat keputusan yang teliti selepas mayat tidak dituntut dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Sementara itu Subramaniam memaklumkan, satu pangkalan data yang menyimpan maklumat kesihatan seluruh rakyat Malaysia akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, projek tersebut akan dimulakan secara rintis di 20 klinik kesihatan terpilih di Sela­ngor dan Johor bermula Julai ini.

“Sekiranya pesakit ke klinik kesihatan lain, pegawai perubatan boleh menyemak maklumatnya dalam pangkalan data.

“Pangkalan data ini bertujuan untuk meningkatkan soal penjagaan kesihatan dalam kala­ngan rakyat Malaysia, khususnya membabitkan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung,” katanya.