Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil risikan dan maklumat pihaknya mendapati kumpulan kongsi gelap kini dilihat telah mula menjalankan kegiatan pengedaran dadah

"Ini satu masalah. Jika dulu, kumpulan gangster ini banyak melakukan jenayah kekerasan, tetapi sekarang mereka telah bertukar kepada pengedaran dadah.

"Sehubungan itu, kita memerlukan maklumat daripada orang ramai untuk membanteras kumpulan-kumpulan ini dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya di talian 017-2035767 atau talian hotline 03-21460670," katanya selepas Program High Profile Policing di Cheras Leisure Mall, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan terus berusaha membanteras kumpulan kongsi gelap daripada terus bergiat aktif.

Dalam pada itu, Mazlan turut mengingatkan agar pegawai dan anggotanya tidak terbabit dalam kongsi gelap bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk dibuang kerja dan sebagainya.

"Saya lebih rela tidak cukup anggota daripada mempunyai anggota yang bersekongkol dengan kumpulan gangster kerana saya perlukan pegawai yang berkualiti.

"Orang ramai usah khuatir. Polis akan terus menjalankan tindakan bagi membanteras kegiatan gangster. Kita akan pastikan pegawai dan anggota tidak terlibat dalam pembabitan gangster. Jika ada, mereka boleh dikenakan tindakan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, sempena Op Selamat 14, yang bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini, Mazlan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan enam kesalahan utama sepanjang 15 hari kempen itu berjalan.

Katanya, enam kesalahan itu adalah memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.

"Kita tidak berkompromi dan sekiranya pemandu ditahan atas kesalahan ini, tiada pengurangan saman diberikan. Kita serius dalam kesalahan ini," jelasnya. - UTUSAN ONLINE