Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 427 majikan turut ditahan dan diberi notis untuk hadir memberi keterangan.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap ma­na-mana majikan yang masih ber­degil tidak mendaftarkan PATI atau pekerja asing itu berikutan enggan hadir membuat pendaftaran untuk mendapatkan kad sementara atau E-Kad.

“Bayangkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kita sudah berjaya menahan lebih 19,000 PATI.

“Ini bukannya kerja mudah tetapi atas gerakan yang agresif, kita berjaya menahan kumpulan sasar berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Setia Berjasa dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Auditorium Pustaka Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Ken Leben dan Timbalan Ketua Siasatan Negeri SPRM Sarawak, Mattson Attang Achun.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, pihaknya mengesan terdapat dua sektor iaitu pembinaan dan perkhidmatan yang paling ramai menggajikan PATI, selain bidang perkilangan, perladangan serta pertanian.

“Bagi majikan yang gagal men­daftarkan pekerja asing mereka, kita menggesa agar menghantar pulang pekerja berkenaan melalui Program Serah Diri secara Su­karela (Program 3+1) untuk me­ngelak risiko dikenakan tindakan undang-undang termasuk pendakwaan,” katanya.