Ini kerana dakwa seorang ahli keluar­ga mangsa yang enggan dikenali, Thiyahu, 30, terlibat aktif dalam membendung aktiviti jenayah di kawasan kejiranan di Seksyen 7, di sini khususnya penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Saya percaya serangan ini ada kaitan dengan penglibatan aktif Thiyahu menentang aktiviti jenayah terutama pengedaran dadah dan melihat kepada perbuatan ganas penyerang, mereka juga mungkin di bawah pengaruh dadah.

“Selepas Thiyahu diserang, saya sempat berkomunikasi dengannya dan mangsa me­minta dihantar ke hospital,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, di tingkat bawah Pangsapuri Nilam Sari itu, mang­sa yang juga operator pengeluaran kilang ditetak di muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kakinya.

Difahamkan, sebelum kejadian, tiga suspek bersenjatakan parang berusia 20-an mengejar mangsa sejauh 200 meter dari blok rumahnya sebelum rebah akibat ditetak di ke­dua-dua kakinya.

Bahkan, selepas rebah, mangsa ditetak berulang kali di seluruh bahagian badan, namun masih sempat meminta pertolongan orang awam untuk menghantarnya ke hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, susulan kes pembunuhan tersebut, pihaknya telah menahan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kesemua individu berusia 20 hingga 25 tahun itu ditahan petang semalam di sekitar daerah ini dan Klang, mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kita juga sedang mengesan seorang saksi bernama M. D. Ozziram atau dikenali Ozi ber­usia 25 tahun dengan alamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang,” ujarnya.