Sumber polis memberitahu, M. D. Ozziram atau dikenali sebagai Ozi, 25, yang alamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, ditahan petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama peguamnya.

“Berdasarkan semakan, Ozi merupakan seorang penganggur dan permohonan perintah reman akan dilakukan terhadap individu terbabit,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kelmarin, M. Thiyahu, 30, maut selepas ditetak di muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kakinya dengan parang di tingkat bawah Flat PKNS, Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini.

Berikutan itu, semalam, empat individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 25 tahun ditahan dan dibenarkan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE