Pengakuan itu dibuat suspek yang berusia 35 tahun, selepas disoal siasat pihak polis, menyebabkan dia berdendam dan merancang pembunuhan kejam tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa dipercayai menganggu isteri suspek ketika dia menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah sebelum ini.

"Motif utama pembunuhan adalah dendam kerana mangsa yang juga pengutip besi buruk dikatakan sering menganggu isteri suspek di sepanjang dia menjalani hukuman penjara dan suspek dibebaskan dari penjara November lalu.

"Kita juga percaya, suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika dia melakukan pembunuhan kejam itu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Khamis lalu, Dharma Raj, 34, ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, badan dan kaki di kawasan lapang berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran, Jalan Kampung Jawa di sini.

Mangsa yang sebelum itu dilihat menaiki motosikal jenis Honda EX5 bersama suspek kemudiannya dikejar dengan parang oleh lelaki tersebut, sebelum ditemukan mati oleh orang awam. - UTUSAN ONLINE