Serbuan dibuat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta pejabat Jabatan Penilaian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar); pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang; pejabat syarikat pemaju Ewein-Zenith di Menara Boustead; pejabat 555 Capital Diamond Valley dan pejabat Konsortium Zenith.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, serbuan tersebut dibuat berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh pihaknya.

Beliau berkata, kesemua dokumen yang diambil pula yang mempunyai kaitan dengan projek Terowong Dasar Laut tersebut.

“Dokumen yang diambil akan diteliti untuk pastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan. Kita juga akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Naib Pre­siden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu di pejabat SPRM Putrajaya berhubung projek kontroversi terowong dasar laut di negeri ini bernilai RM15 bilion.

Menurut beliau, laporan itu ekoran pendedahan terbaharu yang mendakwa kerajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan.

Katanya, syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut itu didakwa memiliki modal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras mi­nimum ditetapkan JKR.

Selain itu, tambahnya, kebimbangan juga menjurus kepada kemampuan kewangan syarikat tersebut menyiapkan projek berkenaan yang kini tertangguh selama lebih tiga tahun tetapi sudah menerima bayaran fi daripada kerajaan negeri berjumlah RM220 juta.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Komtar di sini hari ini mendapati keadaan tenang walaupun berita serbuan berkenaan mulai tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Petugas keselamatan Komtar ketika ditemui menafikan terdapat serbuan di situ selain sumber Pejabat Ketua Menteri juga memaklumkan tiada serbuan.