Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian yang menimpa bayi lelaki berusia 10 bulan itu disedari oleh ibunya berusia 31 tahun.

“Pukul 1.30 petang semalam, pengadu (ibu mangsa) telah menonton satu rakaman video yang ditular dalam laman sosial Facebook memaparkan seorang bayi lelaki dipukul oleh seorang pengasuh.

“Pengadu kemudian mengenal pasti bayi lelaki tersebut adalah anaknya yang dihantar ke rumah pengasuh berkenaan di Indahpura di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa yang tinggal di Bandar Putra di sini mula menghantar anaknya untuk dijaga suspek berusia 62 tahun sejak Disember tahun lalu.

“Pengadu akan hantar anak­nya itu setiap hari Ahad dan akan ambil semula pada hari Jumaat di mana kanak-kanak itu akan bermalam di rumah suspek.

“Bagaimanapun, sebelum rakaman video itu tular, pengadu ada dengar reputasi buruk mengenai pengasuh tersebut dan tidak lagi menghantar anaknya itu sejak dua minggu lalu,” katanya.

Katanya, ibu kanak-kanak itu telah membuat laporan polis di sini pukul 8.38 pagi ini dan pihak­nya sudah mengambil kete­rangan daripada wanita berkenaan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Rakaman berdurasi 34 saat itu memaparkan seorang wanita sedang memukul kanak-kanak yang sedang menangis.

Turut berada dalam video itu seorang individu yang disyaki merakam perbuatan wanita berkenaan dan juga seorang lagi kanak-kanak yang berada dalam kerusi bayi.