Ujar Mohd. Hazrool Mohmad Hatta, 31, motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna ungu yang dibelinya itu adalah edisi terhad.

“Namun saya benar-benar tidak menyangka ada orang sanggup mencuri motosikal yang dibeli walaupun saya telah menguncinya dengan rantai.

“Lebih-lebih lagi hanya motosikal itulah yang menjadi pengangkutan utama saya untuk berulang-alik ke tempat kerja, jujur saya teramat sedih,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Online.

Hazrool turut memberitahu kejadian berlaku di apartment Red Ruby Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, yang merupakan kediamannya dan dia agak kecewa dengan pengurusan keselamatan di situ.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia jelas menunjukkan terdapat dua suspek yang melakukan kegiatan tersebut pada 6 April, baru-baru ini.

“Mereka yang dipercayai berusia sekitar 20-an itu mula memasuki ke kawasan tempat letak motosikal pada pukul 9.30 malam dan beredar kira-kira setengah jam selepas itu,” ujar Hazrool.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seri Kembangan dan video kegiatan pencuri motosikal yang nombor pendaftarannya VAD1841 itu turut telah tular dalam media sosial,” katanya.

“Sehubungan itu saya merayu agar motosikal itu dipulangkan dengan apa-apa cara sekali pun dan sekiranya orang ramai ada sebarang maklumat tentang kecurian tersebut, boleh hubungi saya di talian 012-2845514,” katanya. – UTUSAN ONLINE