Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Eng Kar Wen selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat lelaki berkenaan sehingga 6 Mac ini.


Suspek itu merupakan individu kedua yang direman membabitkan kes menerima wang suapan kononnya untuk menutup kes siasatan SPRM terhadap skandal projek mega terowong dasar Pulau Pinang.


Beliau ditahan SPRM di sekitar ibu negara pada pukul 3.30 petang semalam.


Menurut sumber, suspek yang juga seorang ahli perniagaan berusia 64 tahun itu menerima wang berjumlah RM3 juta menerusi empat transaksi pada tahun lalu.


Kata sumber itu lagi, suspek pada mulanya menerima suapan RM4 juta sebagai habuan, namun jumlah itu dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan dilakukan.


Pada Rabu lalu, seorang lelaki bergelar Datuk Seri berumur 37 tahun direman enam hari sehingga 5 Mac ini kerana dipercayai menerima suapan RM19 juta membabitkan kes sama.-UTUSAN ONLINE