Jurucakap Briged Ketiga Infantri Malaysia berkata, kesemua suspek dicekup oleh Kumpulan Ronda Berkenderaan dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam perjalanan masuk ke negara ini melalui lorong tikus itu dengan menaiki motosikal pada pukul 11.59 pagi.


Katanya, suspek dikesan oleh sepasukan lapan anggota Batalion Ke-11 RAMD yang sedang menjalankan operasi rondaan di sekitar kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia semasa menyeberangi parit di lorong tikus terdapat dalam ladang berkenaan.


“Hasil pemeriksaan, tujuh PATI berusia 18 hingga 30 tahun itu adalah berasal dari Kampung Sungai Beruang, Indonesia, manakala seorang lagi lelaki bersama mereka didapati rakyat tempatan.


“Tujuan mereka menyelinap masuk ke sempadan Malaysia melalui lorong tikus itu bertujuan untuk bekerja di Kampung Tong Nibong di sini,” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, empat motosikal tanpa nombor pendaftaran, satu tong gas dan tiga beg pakaian telah dirampas daripada suspek.


Katanya, kes tangkapan PATI bersama barang rampasan di kawasan 100 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia itu diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut.


Tambahnya, lelaki tempatan yang ditangkap turut diserahkan kepada polis untuk siasatan kerana bersubahat membawa masuk PATI ke negara ini. -UTUSAN ONLINE