Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, suspek wanita berumur 40 tahun itu tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 9.15 pagi dengan tangan bergari sambil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek tersebut yang juga pegawai kanan di salah sebuah kementerian di sini sebelum ini direman selama enam hari bermula Jumaat minggu lalu selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini sehari sebelum itu.

Selain suspek tersebut, turut direman ialah enam individu lain termasuk adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Hamid Apdal, 52, dan Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Peter Anthony, 46.

Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun.

Kesemua enam suspek itu ditahan di Sabah oleh pejabat SPRM negeri itu.

Penahanan kesemua suspek itu dibuat selepas SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap KKLW mendapati daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan antara 2009 hingga 2015, sebanyak RM1.5 bilion telah diselewengkan. - UTUSAN ONLINE