Kejadian itu turut mengejutkan pengunjung serta orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Mohd. Rusdi Mohd. Isa berkata, hasil siasatan mendapati dua suspek menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arah pintu masuk pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan per­cakapan saksi kejadian, dia terdengar beberapa das tembakan dari arah tempat letak kenderaan ketika berada di luar pintu masuk.

“Ketika kejadian terdapat empat orang pekerja di luar pintu masuk dan bahagian penyambut tetamu. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Hasil pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian mendapati 25 kelongsong peluru ditemukan di tempat letak kenderaan kira-kira 30 meter dari pintu masuk pusat hiburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, pi­haknya masih tidak dapat mengenal pasti jantina dan identiti dua suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian,” ujarnya sambil menambah kes disiasat dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.